Thursday, September 27, 2007

Mabadi' al Fiqhiyyah 1

Ini adalah terjemahan kepada kitab Mabadi' al Fiqhiyyah karangan Sheikh Umar Abdul Jabbar, yang merupakan teks awal dalam soal Fekah Mazhab Shafi'i. Mungkin ia boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk kita mengulangkaji ataupun mengajarkannya kepada anak-anak kita.
Saya tidak menterjemahkan keseluruhan kitab, yakni dari kulit ke kulit, cuma terjemahan bebas bukan lafziyyah kepada bab-bab yang penting, semoga dipermudahkan oleh Allah SWT.
Kitab ini adalah berbentuk soal-jawab.

S : Apakah itu Islam?
J : Ia adalah Din ( cara hidup ) yang diutuskan oleh Allah SWT kepada Sayyidina Muhammad ( saw ) bagi memberi hidayah dan kebahagiaan kepada seluruh manusia.

S : Berapakah Rukan Islam?
J : Rukun Islam ada Lima: Pertama Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan ( bersaksi ) bahawa Muhammad ( saw ) adalah Rasul Allah. Kedua Mendirikan Solat. Ketiga Mengeluarkan Zakat. Keempat Puasa ( di bulan ) Ramadan. Kelima ( Mengerjakan ibadah ) Haji di Baitullah bagi yang mampu.

S : Apa makna Ashhadu an La ilaha illah ( Saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah )?
J : Maknanya saya berpegangan bahawa Allah itu Maha Esa, tiada sekutu bagiNya sama ada dalam beribadah kepadaNya atau dalam kerajaanNya ( urusan pentadbiranNya ).

S : Apa makna Ashhadu anna Muhammadan Rasulullah ( Saya bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah )?
J : Maknanya saya berpegangan bahawa Sayyidina Muhammad adalah utusan ( Rasul ) Allah kepada seluruh manusia, dan wajib mentaati baginda dalam segala yang disuruhnya, membenarkan segala yang dikhabarkannya dan meninggalkan dan menjauhi segala yang dilarangnya.

S : Apa makna mendirikan Solat?
J : Makna mengerjakan Solat lima waktu.

S : Apa itu Solat lima waktu?
J : Iaitu ( Solat ) Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'

S : Apa yang lazim ( dilakukan ) sebelum Solat?
J : Lazimnya ( kita ) berwudhu sebelum Solat.

S : Berapakan fardhu wudhu?
J : Fardhu wudhu ada enam ( perkara ): Pertama Niat. Kedua Membasuh muka. Ketiga Membasuh tangan serta ( yakni hingga ke ) siku. Keempat Menyapu sebahagian kepala. Kelima Membasuh kaki serta ( yakni hingga ke ) buku lali. Keenam Tertib.

S : Apa niat berwudhu?
J : Sahaja aku mengangkat hadas kecil.

S : Apa ( itu ) hadas kecil?
J : Iaitu setiap ( perkara ) yang membatalkan wudhu.

S : Apakah perkara-perkara yang membatalkan wudhu?
J : Perkara-perkara yang membatalkan wudhu ( ada ) lima: Pertama Keluar sesuatu daripada salah satu daripada dua jalan ( qubul dan dubur ). Kedua Hilang akal. Ketiga Tidur. Keempat Menyentuh perempuan ajnabiyyah. Kelima Menyentuh qubul atau dubur dengan batin tapak tangan.

S : Siapa ( yang dinaksudkan ) wanita ajnabiyyah?
J : Wanita yang tidak diharamkan berkahwin dengannya kerana sebab keturunan, penyusuan ataupun perkahwinan.

S : Apa ( yang patut ) dilazimi oleh orang yang telah berwudhu apabila ia ingin mengerjakan Solat?
J : ( Hendaklah ) ia melazimi ( yakni memastikan ) kebersihan pakaiannya dan tempat Solatnya daripada sebarang najis-najis, dan menutup auratnya dan mengadap kiblat dan mengetahui ( akan sudah ) masuk waktu Solat.

Friday, September 14, 2007

Puasa: Gusi berdarah

S : Apakah hukum puasa seseorang yang berdarah gusinya, iaitu air liurnya kadangkala bercampur baur dengan darah?
J : Tersebut dalam Hashiah al-Jamal-2:319 pada bab Puasa, “Jika seseorang itu menghadapi masalah gusi berdarah, iaitu ia sentiasa atau kerap berdarah, maka dimaafkan kerana ia suatu perkara yang sulit untuk dielakkan. memadailah sekadar meludahinya dan apa yang tinggal di dalam mulutnya adalah dimaafkan.
Adalah menjadi kesukaran pula jika disuruh berkumur setiap kali memandangkan gusinya kerap kali berdarah. Sekiranya dia berkumur, kemungkinan ia akan berdarah lebih banyak. Inilah pandangan Imam Azra'i.

Shaykh Ali Hani, SunniPath

Puasa: Menggunakan Ubat Gigi

S : Adakah menggunakan ubat gigi semasa bersugi membatalkan puasa?
J : Menggunakan ubat gigi semasa memberus gigi TIDAK membatalkan puasa, MELAINKAN sebahagian daripada ubat gigi itu masuk ke dalam badan ( tertelan ).

Shaykh Amjad Rasheed, SunniPath.

Puasa: Menggunakan Inhaler

S : Adakah penggunaan "inhaler" oleh pesakit asma membatalkan puasa mereka?
J : Kriteria bagi perkara yang menyebabkan BATAL puasa ialah bilamana sesuatu benda itu memasuki badan melalui rongga yang terbuka seperti mulut dan hidung.
Bahan yang keluar dari inhaler seperti debu ataupun cecair memasuki rongga badan seperti tersebut di atas, maka ianya membatalkan puasa.

Shaykh Amjad Rasheed, SunniPath.

Puasa: Muntah

S : Adakah muntah membatalkan puasa?
J : Jika seseorang itu muntah dengan SENGAJA dan tahu akan hukumnya maka puasanya BATAL dan wajib Qadha.
Sebaliknya jika seseorang itu muntah dengan tidak sengaja, maka puasanya tetap SAH.

(Tuhfah al-Muhtaj, 3:389)

Puasa: Air lebihan berkumur

S : Adakah lebihan air yang ada di dalam mulut setelah berkumur membatalkan puasa, seandainya kita berkumur bukan kerana hendak berwudhu?
J : Kata Shaykh Ali Shabramallisi meriwayatkan daripada al-Allamah Ibnu Abdul Haq "Tidak memudaratkan (puasa seseorang itu) jika sekiranya dia menelan air liurnya setelah berkumur sekalipun boleh meludahinya kerana ia adalah suatu perkara yang sukar dielakkan.

Thursday, August 30, 2007

Wudhu: Ragu tentang sahnya.

S : Saya rasa was-was adakah wudhu saya sah kerana saya hanya menyapu kaki saya dengan air dan bukan membasuhnya dan saya rasa saya juga tidak membasuh seluruh muka saya. Tolong bagi jawapan berdasarkan mazhab Shafi'i.

J : Jika anda yakin anda hanya sekadar menyapu kaki anda atau membasuh sebahagian sahaja dari muka ketika berwudhu, maka wudhu anda tidak sah dan solat yang didirikan dengan wudhu berkenaan perlu dilakukan semula ( Qada )

Jika anda tidak yakin tetapi cuma ragu sahaja sama ada anda telah benar-benar membasuh muka dan kaki anda, maka wudhu anda sah. Begitu juga solat yang didirikan dengan wudhu berkenaan.

Sila beri perhatian bahawa jika anda mengenakan air secukupnya kepada anggota wudhu iaitu ianya mengalir di atas anggota berkenaan, anda dikira telah membasuh anggota berkenaa, walaupun tidak setitikpun air menitis dari anggota berkenaan.(Hashiyat al-Bajuri). Untuk membasuh anggota wudhu bukan mesti menggunakan air yang banyak.

Wallahu a'lam.
Terjemahan jawapan oleh Shaikh Hamzah Karamali, Sunnipath.