Thursday, August 30, 2007

Wudhu: Ragu tentang sahnya.

S : Saya rasa was-was adakah wudhu saya sah kerana saya hanya menyapu kaki saya dengan air dan bukan membasuhnya dan saya rasa saya juga tidak membasuh seluruh muka saya. Tolong bagi jawapan berdasarkan mazhab Shafi'i.

J : Jika anda yakin anda hanya sekadar menyapu kaki anda atau membasuh sebahagian sahaja dari muka ketika berwudhu, maka wudhu anda tidak sah dan solat yang didirikan dengan wudhu berkenaan perlu dilakukan semula ( Qada )

Jika anda tidak yakin tetapi cuma ragu sahaja sama ada anda telah benar-benar membasuh muka dan kaki anda, maka wudhu anda sah. Begitu juga solat yang didirikan dengan wudhu berkenaan.

Sila beri perhatian bahawa jika anda mengenakan air secukupnya kepada anggota wudhu iaitu ianya mengalir di atas anggota berkenaan, anda dikira telah membasuh anggota berkenaa, walaupun tidak setitikpun air menitis dari anggota berkenaan.(Hashiyat al-Bajuri). Untuk membasuh anggota wudhu bukan mesti menggunakan air yang banyak.

Wallahu a'lam.
Terjemahan jawapan oleh Shaikh Hamzah Karamali, Sunnipath.

Wudhu: Tanpa berpakaian

S : Adakah perlu seseorang itu menutup dirinya semasa berwudhu dalam bilik mandi?

J : 1. Mengambil wudhu bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu tidak berpakaian.

Kaedah asasnya ialah tidak dibenarkan seseorang itu tidak berpakaian sekalipun ketika bersendirian, kecuali mempunyai sebab yang mengharuskannya. Para Ulama berpendapat bahawa mandi boleh dijadikan sebab yang menasabah untuk hal itu, sama juga sebab-sebab lain seperti cuaca terlampau panas dan kerana gatal badan. Kata Shaikh Hasan al-Kaf dalam kitab beliau al-Taqrirat al-Sadidah bahawa mengambil wudhu bukanlah salah satu daripada sebab untuk membolehkan kita tidak berpakaian langsung, sekalipun mengambil wudhu yang sunat iaitu sebelum mengangkat hadas besar! Oleh itu perlulah seseorang itu menutup badannya semasa berwudhu.

2. Namun wudhu yang dilakukan tanpa berpakaian hukumnya tetap sah!

Wallahu a'lam.

Terjemahan jawapan oleh Shaikh Hamzah Karamali, Sunnipath.

Wudhu: Tidur macam manakah membatalkan?

S : Apakah tanda-tanda nyata yang menunjukkan seseorang itu perlu berwudhu semula setelah tidur. Pada tahap manakah tatkala seseorang itu tidur (hilang sedar)yang memerlukannya berwudhu semula?

J : (1) Jika seseorang itu bermimpi, jelaslah bahawa seseorang itu telah tidur dan dalam hal ini seseorang itu perlu berwudhu semula!

(2) Jika seseorang merasa antara sedar dan tidak tetapi masih dapat mendengar orang sekelilingnya bercakap, itu tanda bahawa dia belum benar-benar tertidur, sekalipun dia tidak memahami perbualan orang sekelilingnya masa itu. Oleh itu wudhunya masih belum batal.

(3) Jika seseorang tidak mengalami sebarang tanda yang menunjukkan bahawa dia dengan pasti telah tertidur, maka dikira bahawa dia belum tertidur dan oleh kerana itu wudhunya belum batal.

(Lihat Bushra al-Karim Bi Sharh Masa'il al-Ta`lim, 1.30)

Wudhu: Lagi Tentang Niat

Tambahan oleh Sheikh Nawawi Al-Jawi berkenaan dengan niat wudhu:

Niat mengangkat hadas "Nawaitu al-Raf'u al-Hadas"
Niat taharah (bersih) daripada hadas "Nawaitu al-Taharah 'an al-Hadas"

Lihat Nihayah al-Zain, m.s. 18

Monday, August 27, 2007

Wudhu: Niat wudhu

S : Adakah memadai menurut mazhab Shafi'i iaitu kita berniat wudhu "Sahaja aku berwudhu kerana Allah Ta'ala" ketika mula membasuh muka?

J : Memadai niat mengambil wudhu, seperti seorang berniat "nawaytul Wudhu" - sahaja aku berwudhu, tetapi adalah lebih elok niatkan Fardhu Wudhu. Kata Shaykh Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj adalah memadai jika seseorang niat Fardhu Wudhu ataupun niat berwudhu sahaja namun Shaykh Ba 'Ashin menyebut dalam kitabnya Bushra al-Karim bahawa adalah lebih utama niat Fardhu Wudhu semasa membasuh muka untuk mengelakkan berlaku khilaf dengan pendapat ulama yang mengatakan adalah wajib menyebut fardhu wudhu semasa membasuh muka.

Seseorang itu wajib berniat ketika membasuh muka. Namun seseorang itu sewajarnya mula berniat lebih awal bagi membolehkannya mendapat pahala sunat bagi anggota-anggota yang dibasuh sebelum muka. Niat mengambil wudhu bagi anggota-anggota yang sunat perlulah dilakukan ketika membasuh pergelangan tangan dan ia juga bertepatan dengan masa kita membaca "Bismillah".

Kata Shaykh Ibn Hajar dalam Tuhfah:

Jadi sesorang itu mula berniat serentak dengannya [yakni membaca "Bismillah"] ketika membasuh pergelangan tangan kerana itulah permulaan bagi wudhu dalam kitab-kitab utama.[Seseorang itu melakukannya]dengan berniat serentak dengan membaca "Bismillah" ketika mula membasuh pergelangan tangan. Sepertilah halnya niat solat bertepatan dengan kita menyebut kalimah Allahu Akbar. [Ibn Hajar al-Haitami, Hawashi al-Shirwani wa Ibn Qasim al-Abbadi 'Ala Tuhfah al-Muhtaj Bisharh al-Minhaj [Beirut, Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi], 1:225).

Adalah lebih utama bahwa niat ketika membasuh pergelangan tangan itu sekadar untuk mengerjakan sunatnya contohnya seperti berniat "Aku berniat sunat wudhu" (nawaitu sunanul Wudhu'), sepertimana disebut oleh Shaykh Abdul-Hamid al-Shirwani yang diambil dari gurunya Shaykh al-Bajuri.

Jadi dengan itu seseorang itu melakukan tiga perkara serentak: (1) niat sunnat wudhu, (2) membaca "Bismillah", (3) mula membasuh pergelangan tangan.

Kata Shaykh Abdul-Hamid al-Shirwani yang diambil dari gurunya Shaykh al-Bajuri:

Dengan berbuat demikian maka bersekutulah antara perbuatan hati, lidah dan anggota lahir, kerana dia telah menggunakan hatinya untuk niat, lidahnya untuk membaca "Bismillah", dan anggota badannya untuk membasuh dalam satu masa. (Shaykh Abdul-Hamid al-Shirwani, Hawashi al-Shirwani Wa Ibn Qasim al-Abbadi 'Ala Tuhfah al-Muhtaj Bisharh al-Minhaj [Beruit, Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi], 1:225).

Terjemahan jawapan oleh Shaykh Abdul-Karim Yahya, SunniPath
Sila lihat jawapan asal di sini

Wudhu: Membasuh leher

S : Adakah digalakkan untuk membasuh leher semasa mengambil wudhu.

J : Ulama mazhab Shafi'i berbeza pendapat dalam hal ini.Pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi dan al-ashab ialah tidak sunnah membasuh leher ketika berwudhu. Ini merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab.

Sebilangan ulama terdahulu dalam mazhab Shafi'i pula berpendapat bahawa membasuh leher adalah sunnah. Antara ulama Shafi'iyyah yang berpendapat begitu termasuklah Imam Qadi Husain, Mutawalli, Baghawi, dan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Oleh itu, pendapat mana yang ingin dipakai, terpulanglah kepada diri sendiri.

Jawapan oleh Sheikh Amjad Rasheed dari SunniPath.

Nota: Kebanyakan ulama di Nusantara memilih pandangan kedua memandangkan pondok-pondok atau pesantren serta surau dan masjid di rantau alam Melayu ini kebanyakannya menggunakan kitab seperti Sabil al-Muhtadin, Bidayah al-Hidayah, Musolli dan sebagainya, yang sebahagian besar dipetik dari kitab Ihya' Ulum al-Din karangan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Wallahu a'lam

Jawapan asal dalam Bahasa Inggeris boleh dilihat di sini

Kitab-kitab Muktamad

Berikut adalah kitab-kitab yang menjadi sumber rujukan utama dalam membuat fatwa berlandaskan mazhab Imam ash-Shafi'i

1) Tuhfatul Muhtaj - Al-Hafidh Ibn Hajar al-Haitami
2) Nihayatul-Muhtaj - Imam Al-Ramli
3) Mughni-Muhtaj - Khatib Sharbini
4) Hasyiah Qalyubi wal Umairah ‘ala sharhil Minhaj
5) Fathul Wahhab - Sheikhul Islam Zakariyya al-Ansari
6) Syarah mahalli ‘ala Minhaj
7) Al-Iqna - Khatib Sharbini
8) Fathul-Qariib
9) I’anatut-Talibiin - Sh. Abu Bakar Syata
10) Al-Majmu’ - Imam Muhyiddin An-Nawawi
11) Raudatut-Talibiin - Imam Muhyiddin An-Nawawi
12) At-Tahrir - Sheikhul Islam Zakariyya al-Ansari
13) Fathul Jawwad - Al-Hafidh Ibn Hajar al-Haitami
14) Fatawa al-Kubra - Al-Hafidh Ibn Hajar al-Haitami
15) Syarah Ubab - Al-Hafidh Ibn Hajar al-Haitami
16) Minhajul Qawim - Al-Hafidh Ibn Hajar al-Haitami

Sunday, August 26, 2007

Mukaddimah

Blog in dicetuskan dengan tujuan agar ia menjadi sumber rujukan bagi sesiapa yang mempunyai kemusykilan dalam persoalan fekah menurut mazhab Imam ash-Shafi'i.
Saya bercadang untuk memuatkan didalam blog ini soal jawab yang berhubung dengan keempat-empat bahagian di dalam pengajian fekah iaitu Ibadah, Munakahat, Mu'amalat dan Jinayat, insya Allah.